KETIGA-TIGA makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud: "Dan Dia menciptakan jin dari api." (Surah ar-Rahman, ayat 15).
Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya kamu (wahai iblis) diberi tangguh untuk mengganggu anak Adam hingga hari kiamat." (Surah Sad, ayat 81).
Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah.
Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncunya dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah al-A'raf, ayat 27).
Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan cerdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman.
Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai." (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih).
Hadis daripada Aishah diriwayatkan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka.
Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah � Rektor Universiti Al-Azhar).
Antara peranan jahat syaitan ialah:
* Mencipta permusuhan antara manusia. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu." (Surah Al-Maidah, ayat 91).
* Menghilangkan pertimbangan akal yang waras. Sabda Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan."
* Tamak dan hasad dengki. Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya: "Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak." (Ibnu Jauzi).
* Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam. Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecahbelahkan perpaduan mereka." (Hadis riwayat Bukhari).
* Memesongkan akidah umat Islam. Firman Allah bermaksud: "Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah An-Nisa', ayat 60).
* Menyeru kepada kejahatan. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 169).
* Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 169).
* Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. Firman Allah bermaksud: "Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya." (Surah Az-Zukhruf, ayat 36).
* Mencipta perbalahan dalam agama. Firman Allah bermaksud: "Ada di kalangan manusia yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu dan mengikut syaitan yang jahat." (Surah Al-Haj, ayat 3).
Justeru, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas.
Ustaz Zamanuddin Jusoh
No comments:
Post a Comment