Wednesday, December 7, 2011
Tugas Lelaki
Oleh Mohd Zamri Shafie
LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.
Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan agama.
Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.
Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.
Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." – (Surah An-Nisa', ayat 34)
Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.
Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.
Sejarah penciptaan Adam sebagai manusia pertama yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah adalah ketentuan sudah ditetapkan. Allah sebagai Khaliq membentangkan amanah kepada manusia pertama diciptakan seterusnya generasi lelaki yang dilahirkan selepas itu.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)
Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya menyatakan, Islam mengajarkan umatnya khususnya lelaki menjadi manusia bertanggungjawab dengan amanah yang dibebankan ke atas dirinya. Amanah itu meliputi seluruh hidup dan orang berada di sekelilingnya.
Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada kecil atau besar. Semua tanggungjawab itu akan ditanya di akhirat kelak dan disebabkan itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah serta ikhlas.
Daripada Ibn Umar, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga
suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kegagalan dalam kepemimpinan akan mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat diciptakannya.
Kepincangan dilihat bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang di sebalik 'kedayusan' tertanam dalam dirinya.
Perbaikilah diri dan fahamilah matlamat hidup di dunia sementara ini demi perjalanan yang tidak pasti nasib sama ada beroleh keuntungan atau kerugian di akhirat sana. Manusia akan terlalai dengan dunia, rugi nasibnya di dunia, pasti di akhirat akan lebih merana.
Jadilah manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah, ayat 71)
Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka
Hak Muslim: Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka
Soalan:
BAPA saya sudah meninggal dunia beberapa bulan lalu dan meninggalkan sebuah rumah serta sejumlah wang tunai. Bapa saya meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua perempuan. Arwah ayah menamakan ibu sebagai penama kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memiliki polisi insurans yang meletakkan ibu saya sebagai penama. Bagaimana cara untuk melantik pentadbir? Apakah kedudukan wang KWSP dan wang insuran arwah bapa termasuk sebagai harta pusaka?
Hisham,
Klang.
Jawapan:
Peruntukan berkaitan pembahagian harta pusaka dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat. Dan orang perempuan pula ada bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian ditetapkan (Allah).” - (Surah An-Nisa’, ayat 7)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Serahkan harta pusaka kepada pemiliknya. Jika ada baki, serahkan kepada kaum keluarga lelaki terdekat.” - (Hadis riwayat Bukhari)
Harta peninggalan hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada yang berhak menurut hukum pewarisan dalam Islam selepas ditolak semua hutang termasuk kos penyelenggaraan jenazah dan kos pentadbiran harta pusaka.
Bagi mentadbir harta pusaka, satu Surat Kuasa Mentadbir hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta yang lebih daripada RM600,000 atau melalui Pejabat Tanah di Bahagian Harta Pusaka Kecil bagi harta peninggalan bernilai kurang daripada RM600,000 dengan syarat salah satu daripada harta peninggalan arwah adalah harta tak alih sama ada rumah, tanah kebun atau lain-lain harta seumpama dengannya.
Urusan mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka akan menjadi mudah apabila semua waris mempunyai kata sepakat melantik seorang ahli waris sebagai pentadbir kepada harta pusaka si mati .
Kebanyakan kes harta pusaka tertangguh di mahkamah berpunca daripada tiada persetujuan antara waris untuk melantik pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka adalah pemegang amanah atau wasi yang bertanggungjawab mentadbir harta pusaka di mana antara tugasnya ialah memaklumkan kematian kepada pihak berwajib.
Ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak bank di mana arwah mempunyai akaun simpanan, pihak insurans jika ada dan lain-lain pihak berkenaan bagi memastikan kematian si mati dimaklumi untuk diambil tindakan sewajarnya.
Pentadbir juga bertanggungjawab melunaskan hutang si mati dan urusan itu dapat dilakukan selepas waris mendapat kuasa sebagai pentadbir kerana seorang pentadbir berhak mengeluarkan wang simpanan atau mencairkan harta bagi membayar hutang sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak.
Perlu diingat, kuasa pentadbir adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Jika berlaku penyelewengan terhadap harta pusaka si mati, pihak tidak berpuas hati boleh memfailkan bantahan bagi melantik pentadbir baru.
Mahkamah Syariah adalah berbidang kuasa seperti diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri bagi menentukan orang yang berhak menurut hukum syarak untuk mendapatkan bahagian daripada harta pusaka si mati dan seterusnya mengeluarkan Sijil Faraid bagi membolehkan pentadbir harta pusaka menjalankan tugas pembahagian harta pusaka.
Memandangkan isteri arwah masih hidup dan mempunyai anak, maka bahagian isteri arwah adalah satu perlapan bahagian tidak termasuk hak harta sepencarian yang wajar ditolak terlebih dulu sebelum harta arwah difaraidkan.
Anak lelaki memperoleh dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Walaupun arwah menamakan isteri sebagai penama KWSP, penamaan itu tidaklah bermaksud isteri berhak ke atas keseluruhan wang KWSP, sebaliknya penamaan hanyalah sebagai pentadbir bertanggungjawab untuk membahagikan wang berkenaan kepada waris yang berhak.
Ini seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1973, wang KWSP, bank simpanan pejabat pos, bank dan insurans perlu dibahagikan mengikut faraid dan penama adalah orang melaksanakan pembahagian wang mengikut faraid.
Oleh demikian sewajarnya waris berlapang dada dan bersepakat dalam melantik pentadbir bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.
Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah
INFO
TILAWAH al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-52 diadakan pada 14 hingga 18 Julai ini di Universiti Teknologi Petronas, Bandar Seri Iskandar, Tronoh, Perak.
JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menganjurkan Pertandingan Menulis Esei sempena ulang tahun ke-35 tahun penubuhannya. Terbuka kepada semua warga Malaysia kecuali pegawai dan kakitangan Jawi/MAIWP, tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2009. Maklumat lanjut, layari laman web www.jawi.gov.my.
RUANGAN Agama Berita Harian membuka ruang kepada badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai program atau aktiviti kemasyarakatan yang mereka jalankan. Hantarkan maklumat lengkap ke alamat emel bhagama@bharian.com.my atau faks di nombor 03-22822425/03-22824340 atau hubungi talian 03-22822323 sambungan 4400.