Thursday, February 3, 2011
Today n myself 03/01/2011
slow market dosent matter ,release stress on playing game and "Berangan-angan" hehehe.
//mode testing Bahasa Enggeris on word typing
Tuesday, January 25, 2011
((Tmn2Syurga)) .: Tudung Bulat Kolot!!:.
Rungutan berbaur sinis ini masih tidak menggoyangkan rasa cinta aku pada tudung bulat..
" kesianlah aku tengok kau ni.", sambil tangan beliau mencari-cari tudung berjenama artis dan menghulurkannya pada ku. Aku ambil, sebagai menyenangkan hatinya. Ku gantikan tudung bulat yang ku pakai dengan tudung biru terqouis yang beliau berikan. Memang padan dengan baju kurung putih berbunga sama warna dengan tudung itu.
"Ish, tak reti la, tudung ni melekat kat badan. Tak selesa la, panas." Terfikir juga, betulkah jawapanku ini.
"Melekat kat badan? Abes tudung kau tu tergantung ke kat badan kau tu. Tudung bulat kau yang boleh buat kain kemah tu tak panas ke?".
Huh, berdesing telingaku mendengar kutukan mereka pada tudung kesayanganku itu. Sanggup beliau mengatakan sedemikian padaku. Apakah kesalahannya tudung bulat ni sehingga ia amat di benci dipandangan mata muslimat kini. Malah, pemakainya juga tidak terlepas dari pelbagai fitnah dan cemuhan.
"Ish tudung besar tu tah dalam tudung tu macam-macam ada."
"Ala tudung melingkup macam cendawan tu datging gak we."
"Kawan anak aku, tudung die besar bukan main, berjubah lagi, tup-tup mengandung kau tahu."
Kami manusia, wahai saudara-saudaraku. Seperti kata pepatah, "kerna nila setitik, rosak susu sebelanga". Bukan niat mahu membenarkan yang salah,cuma tidak perlulah kami sentiasa dicemuh dan dihina. Biarkan mereka menanggung dosa sebagai munafik,usah kalian menambah pula dosa kalian dengan mengumpat mereka.
Ya!! Kami juga muslimah biasa yang tidak kebal dari dosa.
Ya! Benar! Kami muslimah tak guna. Kami memang tak guna.
Kami juga muslimah-muslimah tak guna kain sempit untuk membaluti tubuh kami. Kain-kain jarang pada kami hanya untuk di buat kain langsir yang fungsinya menghalang cahaya matahari terik, tetapi dalam pada masa yang sama matahari itu perlu sebagai penyuluh di siang hari dan penyegar kediaman kami. Andai kain jarang kami baluti tubuh kami, kami juga membenarkan cahaya matahari menjadi punyuluh badan kami dan menjadi penyegar mata kalian. Oh tidak, kami bukanlah semudah itu untuk menjadi tatapan kalian. Kami juga tak guna baju-baju adik kami untuk dibawa berjalan ke bandar. Kami lebih mengamalkan perinsip yang tua memberi pada yang muda, bukan membuli yang muda. Jadi, adik-adik kami selalunya yang meminjam baju kami, dan kami meminjam pada kakak kami dan begitulah seterusnya. Kerna ini juga baju kami tidak perlulah jarang atau berlubang-lubang atau senteng ke pusat untuk menyejukkan badan, tetapi baju yang longgar amat selesa kerana pengudaraanya amatlah baik sekali. Seperti mana rumah yang besar lebih sejuk berbanding rumah yang kecil dan sempit. Hal ini juga, dapat memudahkan pergerakan kami dan membesarkan langkah kami. Tidaklah kami perlukan belahan kain sampai ke paha untuk melangkah dengan lebih besar.
Sungguh aneh dunia kini, baju yang cukup sifatnya dikecilkan, dikoyakkan, dibelahkan. Makin lama, tubuh itu ibarat orang-orang di sawah lagak pakaiannya. Malah, pakaian orang-orang itu lagi indah.
Ya, kami masih lagi muslimah tak guna kasut-kasut bertumit tajam, kerna kami saying bumi kami. Bumi ini juga bernyawa dan pastinya setiap yang bernyawa pasti mempunyai perasaan. Kami takut kasut tumit tajam kami akn mnyakitkan bumi ini. Kami sedar satu hari nanti, kami akan berada dalam bumi ini. Kami takut akan di balas pula perbuatan kami dengan tusukan yang kami sendiri tidak dapat menanggungnya.
AURAT. Apa definisinya pada kalian?
"Ala, pakai tudung dah kira tutup aurat la tu…"
Pakai tudung dan berbaju t-shirt, sudah sempurna tuntutan menutup aurat kalian? Tudung pendek menampakkan dada itu menutup aurat pada kalian? Baju jarang dan sempit itu menutup aurat. Itu tidak di sentuh hal seluar lagi. Aduh, makin sakit mata makcik-makcik yang memandang melihat gaya seluar yang menjelikkan kini. Untuk apa berbaju jika sudah tahu di mana tanda lahirnya. Untuk apa berseluar jika mahu diberitahu saiz pinggangnya. Untuk apa berbaju dan berseluar jika boleh diteka apa yang ditutupinya.
Mungkin pada kalian menutup aurat adalah menutupi keaiban kalian. Tapi pada kami, menutup aurat adalah menutup bahagian-bahagian terindah pada kami. Yang kami tutup bukanlah rabut rosak yang penuh dengan kelimumur. Yang kami tutup bukan juga parut-parut luka jatuh pokok di waktu nakal dahulu. Yang kami tutup adalah kecantikan yang kami jaga rapi untuk kalian yang berhak menatapnya. Kami jadikan kalian yang pertama melihatnya, bukan yang ke 25 ataupun yang terakhir setelah puas orang laian menatapnya. Amanah ini kami jaga kerna pada kecantikan-kecantik an ini juga terletak maruah kami, maruan ibubapa kami, dan yang paling utama maruah agama kami. Kami tidak mahu kalian terkeliru dan tertipu dengan identiti kami. Kami muslimah bukan Harajuku girl, mahupun gadis barat berkulit sawo matang tapi berambut blonde.
Isu tudung dan aurat ini tidak pernah akan menjadi isu basi kerna ianya perlu diingatkan selalu. Apa yang kami perlihatkan pada kalian mungkin pada kalian adalah kehodohan semata, tapi kami peduli apa, kami tak ingin cantik di mata kalian, tapi kami mahu cantik di mata ALLAH;KEKASIH awal dan akhir kami...
Kita manusia mudah lupa walaupun sering diberi peringatan. Muslimah perlu sedar, tugas kalian amatlah besar kerna guru-guru pendidik bangsa, pemimpin-pemimpin negara, pejuang-pejuang Islam, semuanya akan lahir dari kalian . Andai kalian rosak, adakah bakal yang lahir dari perut kalian akan elok? Benar, semuanya adalah ketentuan Allah, dan iman juga tidak boleh diwarisi, tetapi prevention is better than cure kan…? Cuba elak sejauh mungkin, berusaha menjadi yang terbaik,seterusnya baru diserahkan pada sebaik-baik perancang.
Andai diri ini tersasar dari landasan, ringan-ringankanlah tangan kalian untuk memimpinku kembali ke landasan yang benar. Jangan kalian mengutukkan aku dibelakang kerna aku tidak dapat mendengarnya. Jangan pula kalian menjauh kerna, aku juga tidak bisa membaca hati kalian. Aku juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Tegurlah aku andai ada yang tidak enak di mata kalian. Segalanya mungkin ada hikmah kerana itu kita dituntut untuk saling menasihati.
Andai kalian ingin bersahabat denganku, aku berjanji menjadi sahabat yang terbaik buat kalian, kerna aku mencintai kalian seperti mana aku mencintai diri aku sendiri.
Tetapi andai kalian ingin aku mengikut arus semasa memakai tudung berjenama selebriti negara, aku rela kehilangan kalian dari kehilangan tudung bulat. InsyaALLAH.. .
Allahu alam…
((Tmn2Syurga)) INFO : Buah-buahan dan khasiatnya
Buah-buahan dan khasiatnya
Dari aspek botani, buah adalah hasil daripada tumbesaran akhiran bunga angiosperma atau jambak bunga. Definisi atau takrifan ahli botani ini merangkumi buah-buahan berisi yang wujud dari bahagian ovari bunga seperti reseptaker atau daripada penyangga (buah epal, strawberi ), brektia atau daun pelindung dan daun pedunkel (nenas). Walaupun begitu majoriti masyarakat dewasa ini mengenali buah hanya sebagai pembasuh mulut selepas menikmati pelbagai jenis hidangan yang enak.
Disebalik rasanya yang enak, buah-buahan sebenarnya mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan. Ia diperkaya dengan zat galian yang mempunyai nilai perubatan dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Namun tidak ramai yang menyedari hal ini melainkan masyarakat luar bandar terutamanya golangan tua. Ini kerana masyarakat desa kurang terdedah dengan perubatan moden dan masih lagi kuat mempercayai perubatan tradisional yang diamalkan sejak turun temurun.
1. Delima Hilangkan Masalah Cacing
Delima, sejenis buah berasal dari kawasan Mediterranean, banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Kulit buah delima mengandungi asid tannin yang amat berkesan untuk menghapuskan masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit. Selain daripada asid tannin, delima yang dikenali sebagai Punica granatum dari segi saintifik, juga mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan vitamin C. Zat besi yang terdapat dalam buah delima dianggap sebagai unsur penting dalam pembentukan darah merah. Seseorang yang kekurangan zat besi akan mengalami penyakit anemia.
Buah delima juga boleh memperbaiki usus-usus dan menguatkannya, membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk. Ia berkesan untuk meredakan cirit-birit yang kronik, termasuk cirit-birit berdarah dan enteritis atau bengkak usus. Walaupun begitu buah delima masam juga boleh mencegah dari muntah, menghentikan cirit-birit dan melawaskan air kencing.Ini kerana buah delima mengandungi bahan pengcengkam yang mampu memegang dinding saluran perut.
Di beberapa kawasan di Iran dan di Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah penafasan berbau. Buasir merupakan satu lagi penyakit yang boleh dirawati menggunakan buah delima kerana airnya dapat bertindak sebagai astringen. Ia juga dipercayai berkesan untuk mengatasi kemandulan.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa biji delima dapat dijadikan ubat luka-luka yang teruk dan kebenjolan, caranya dengan mengambil biji-biji delima di tumbuk dan dicampurkan dengan sedikit madu dan disapukan pada bahagian luka.
2. Kurma Hindar Gangguan Usus
Kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Kurma yang dikenali sebagai Phoenix dactylifera L. dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus yang kronik, di mana ketidakserasian dengan gluten, sejenis protein yang terkandung di dalam bijirin menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Ia mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dihasilkan oleh gluten dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Bagi mengubati penyakit ini bijinya dibuang kemudian dibersihkan sebelum diadun halus dengan setengah gelas air dan lebih mujarab jika dicampur dengan jus lobak merah.
Selain daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai di amalkan oleh mereka yang mengidap penyakit diabetis, kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius.
Jus kurma juga berkesan untuk mengatasi masalah batuk. Kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong dan sekali gus menghilangkan batuk. Kurma juga boleh digunakan bagi menggantikan gula atau madu untuk tujuan menghilangkan kesan mabuk dan bertindak sebagai penawar racun.
Jus kurma juga merupakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk jus kurma sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong sekaligus menghentikan batuk.
Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, di dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma.
Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.
Firman Allah:
Maksud: "Dan gegarlah kearahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan."
Rasulullah juga pernah bersabda mengenai hal ini ,sabdanya: "Beri makan buah tamar kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa yang memakan buah tamar tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang anak yang penyabar dan bersopan-santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa AS adalah buah tamar.”
Sekiranya Allah ada menjadikan sesuatu buah yang lebih baik daripada tamar sudah tentu Allah telah memberikan (kepada Siti Maryam)
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian dari segi perubatan, fiqhiyah dan perundangan, hasil kajian menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Kajian menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan. Disamping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut.
Mengikut hasil kajian Ahli Sains Mesir telah terbukti khasiat kurma dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari dari penyakit barah, merawat buah pinggang dan mencuci hati, dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.
3. Pisang Merawat Kudis dan Luka
Pisang atau nama saintifiknya Musa sapientum adalah antara buah-buahan tempatan yang digemari ramai. Ia kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Pisang juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsangkan aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga. Dalam perubatan tradisional, getah pisang merupakan ubat yang mujarab untuk menyembuhkan luka. Dengan menyapukan getah pisang pada luka, darah akan berhenti mengalir dan lukanya akan cepat kering. Kudis pula boleh dirawat dengan mudah menggunakan kulit pisang. Selain itu pisang juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, ulser dan penyakit gastritis atau radang perut.
4. Mangga Penawar Penyakit Hernia
Mangga yang dikenali sebagai Mangifera indica yang berasal dari keluarga Anacardiaceae, digunakan sebagai agen penghilang dahaga untuk mengatasi masalah penyahidratan dalam tubuh serta berkesan untuk menyembuhkan penyakit hernia. Hernia atau burut iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan isi perut turun ke bawah dan kantung kemaluan menjadi bengkak, ulu hati terasa pedih dan sakit setiap kali selepas makan, boleh dirawat dengan mengamalkan pengambilan jus mangga. Minuman itu, yang kaya dengan pelbagai zat galian termasuk vitamin A dan C akan bertindak melancarkan peredaran darah. Memandangkan jus mangga mempunyai kandungan gula yang tinggi, ia kurang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit diabetis, hipoglisemia dan kandidiasis atau jangkitan kulat.
5.
Nanas Penawar Penyakit Batu Karang
Nanas sejenis buah tropika yang dikenali dengan nama saintifiknya Ananas cosomos berasal dari keluarga Bromeliaceae dan mengandungi kandungam gula yang tinggi serta kaya dengan vitamin A, B dan C. Jus nanas merupakan sejenis minuman yang lazat dan baik untuk kesihatan, terutamanya bagi mengatasi kekeringan dibahagian bibir dan kulit muka. Nanas merupakan ramuan penting dalam rawatan tradisional. Ia melancarkan perjalanan haid serta berkesan mengatasi masalah-masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan badan. Ia juga merupakan penawar yang penting bagi mengatasi penyakit batu karang. Amalan meminum jus nanas terbukti berkesan untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas kerana kandungan enzimnya yang tinggi.
6. Belimbing Merawat Kencing Manis / Darah Tinggi
Belimbing salah satu jenis buahan tropika popular yang enak. Ia boleh dimakan segar ataupun dijadikan jeruk dan dibuat jus. Belimbing ini bagaimanapun ada yang masam, tetapi kedua-duanya dipanggil belimbing besi. Nama sainsnya ialah Averhoa crambola dan sekeluarga dengan oxalidaceae. Belimbing juga mempunyai khasiat perubatan. Pengidap kencing manis dapat menurunkan paras gula dalam darah dan sesuai juga dimakan oleh mereka yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi, gingivitis atau radang gusi.
7. Lemon Berkesan Merawat Tonsilitis
Tonsilitis atau penyakit radang tonsil dibahagian kerongkong berpunca daripada serangan kuman bakteria streptokokus. Ia dapat di rawat dengan berkumur menggunakan jus lemon sebelum diminum atau nama saintifiknya Citrus limon. Lemon yang kaya dengan vitamin C serta zat besi, patasium, kalsium dan fosforus berkesan merangsangkan sistem pelalian untuk membunuh kuman streptokokus. Serabut atau bulu-bulu putih yang terdapat di sebelah dalam kulit lemon dan limau-limau sitrus yang lain mengandungi bioflavonoids yang berkhasiat untuk kesihatan. Oleh itu serabut itu perlu dikikis daripada kulit kemudian dicampur dengan isi lemon sebelum dikisar halus. Lemon juga dengan vitamin B kompleksnya juga bertindak membunuh sejenis kuman bakteria dikenali sebagai stafilokokus. Ia turut berkesan untuk menghindarkan penyakit-penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan klamidia.
8. Pala Melegakan Kembung Perut
Pala sejenis buah tempatan yang bernilai tinggi dalam nilai perubatan. Kulit arinya merupakan bahan utama untuk membuat minyak sapu atau apa yang disebut salap bagi melegakan masalah kembung dan senak perut, sakit kepala, selsema, disengat serangga dan lenguh-lenguh sendi. Ia berasal dari keluarga myristicaceae, yang dikenali dengan nama saintifiknya Myristica fragrans juga merupakan penawar untuk menghilangkan rasa loya, pening-pening atau tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pitam. Ia juga dikatakan boleh merangsangkan nafsu syahwat. Bijinya pula mengandungi sejenis minyak yang berkhasiat yang boleh digunakan sebagai salah satu ramuan untuk membuat minyak panas bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.
9. Pinang dengan Pelbagai khasiat
Tumbuhan ini juga dikenali dengan nama saintifiknya Areca catecu Linn dan berasal dari keluarga Arecaceae. Buah dan biji pinang bernilai tinggi dari segi perubatan. Biji pinang dikunyah bersama-sama daun sirih seperti yang lazimnya diamalkan oleh orang-orang tua sebagai salah satu petua untuk menguatkan gusi serta menghapuskan masalah mulut berbau busuk. Bagaimanapun, amalan memakan terlalu banyak pinang boleh memudaratkan kesihatan. Biji pinang juga mengandungi sejenis bahan yang boleh mencegah barah. Sabutnya pula digunakan oleh masyarakat zaman dulu untuk merawat cirit-birit. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau.
10. Pisang Kaki Turunkan Tekanan Darah Tinggi
Pisang kaki sejenis buah yang berkhasiat yang mengandungi vitamin C, glukos, sukros, fruktos dan iodin, bernilai tinggi dari segi perubatan. Ia amat berkhasiat dalam menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu. Sungguhpun buah ini disebut pisang dan berwarna kuning tetapi bentuk serta isinya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buah yang berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea. . Serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah pisang kaki yang kering juga manis rasanya dan mengandungi manitol, glukos dan vitamin C amat baik untuk paru-paru dan jantung.
11. Sengkuang Cina Penawar Bronkitis
Bronkitis ialah sejenis penyakit radang tenggorok, iaitu saluran udara di bahagian kerongkong. Penyakit ini menyebabkan selaput pada cabang tenggorok menjadi merah dan bengkak. Dalam dunia perubatan tradisional, sengkuang cina merupakan penawar bagi melegakan penyakit bronkitis yang kronik. Rasanya manis dan menyejukkan serta elok dimakan bagi meredakan demam, selsema dan batuk. Sengkuang cina berasal dari keluarga Cyperacea dan kaya dengan karbohidrat, lemak, protein, vitamin C, kalsium, fosforus dan zat besi. Ia digunakan dalam perubatan tradisional cina untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Caranya dengan menggunakan tiga biji sengkuang cina dicampur dengan lobak putih yang dimesin halus dengan sedikit air dan madu.
12. Ciku Penawar Buang Air Berdarah
Tabiat mengabaikan pemakanan boleh menimbulkan keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan. Masalah sembelit boleh terjadi jika makanan yang dimakan tidak dihadam dengan baik, kurang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurang meminum air. Keadaan ini jika dibiarkan boleh membawa kesan-kesan yang lebih buruk, antaranya buang air berdarah atau buasir. Satu cara dalam kaedah pengubatan tradisional ialah dengan menggunakan buah ciku. Cara yang lebih berkesan untuk merawat buang air berdarah ialah dengan memakan buah ciku yang belum cukup tua, iaitu dengan menumbuk hingga lumat dan dicampur dengan sedikit air panas dan garam. Seelok-eloknya diamalkan sebelum sarapan pagi.
13. Pelbagai Khasiat Tembikai
Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit. Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dikalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan. Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh. Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.
14. Avokado Hindar Sengal-sengal Tulang dan Sakit Jantung
Avokado dikenali sebagai Persea americana yang berasal dari keluarga Lauraceae merupakan makanan berzat dan amat berkesan bagi mengatasi masalah kekurangan zat makanan dan menambah berat badan khususnya dikalangan kanak-kanak. Ia mengadungi protein, zat besi kalsium, vitamin A, vitamin C, niasin, soldium dan potasium. Berasal dari negara beriklim separuh tropika. Sebiji avokado mengandungi kira-kira 300 kalori dengan 88 peratus daripadanya adalah lemak.
Ia berkesan sebagai pelincir semulajadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan pergelangan kaki seterusnya menghindarkan penyaki lenguh-lenguh tulang. Amalan memakan buah avokado pada setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol disamping mengekalkan paras lipoprotein, sejenis kolesterol yang baik untuk mnghindarkan seseorang itu daripada diserang sakit jantung. Ia diamalkan di Brazil, Colombia, Equador dan Peru di Amerika Selatan.
15. Betik Selesaikan Sembelit
Betik adalah daripada spesies Carica papaya dan berasal dari keluarga caricaceae. Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit. Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi. Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit. Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah.
KESIMPULAN
Dengan melihat kepada apa yang telah diperbincangkan, jelas membuktikan kepada kita bahawa, buah-buahan sememangnya mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan. Jadi penyelidikan yang terperinci berkaitan khasiat yang terkandung dalam buah-buahan perlu dipertingkatkan. Ini bukan sahaja penting untuk menyakinkan masyarakat, tetapi juga memandangkan rawatan dengan menggunakan tumbuhan semulajadi termasuk buah-buahan tidak mendatangkan kesan sampingan berbanding rawatan moden yang menggunakan ubatan sintetik yang dihasilkan di dalam makmal.
Jemput baca artikel berkaitan :
- Mulberry buah pelbagai guna
- Cemperai mampu ubati ulser, sakit sendi
- Plum bantu kurangkan berat badan
- Buah kiwi lindungi tubuh daripada radikal bebas
- Buah lemon kurangkan lebihan asid
- Cekur - Ulam selepas bersalin
- Kesan antioksidan badam
- Antioksidan dalam labu kurangkan risiko penyakit
- Kobis Brussel
- Menyingkirkan panas
- Beri Acai (Acai Berry)
- Pemakanan untuk kesihatan seksual
- Cendawan kawal kanser?
- Buah lemon kurangkan lebihan asid
- Ada apa dengan telur?
- SiHAT : Langsing dengan makanan berwarna
- Khasiat durian belanda
- Zat besi optimalkan perkembangan otak
Sunday, January 23, 2011
((Tmn2Syurga)) Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary adalah seorang yang perahsia. Jarang sekali, beliau ingin berkongsi kisah peribadinya dan lebih banyak tersenyum dan memerhati.
Mokhtar merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951, beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970.
Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.
Pemilihannya dibuat berdasarkan pelbagai kejayaan yang ditempa selama 43 tahun di dalam bidang perniagaan selain sumbangan amalnya.
Syed Mokhtar pernah dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah/2008 Masihi, menjadikan beliau individu Melayu kelima menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.
JIWA DERMAWAN DIPUPUK IBU AYAH
Sifat dermawan dalam diri Syed Mokhtar dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat.
Kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960-an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970-an selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20-an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970-an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu.
Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, Syed Mokhtar tidak membantah.
Masa beliau bawa balik pendapatan pertama, ibunya beritahu RM750 akan digunakan untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibunya untuk beri orang yang kurang kemampuan.
Dari situlah jiwa dermawan dipupuk ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan Syed Mokhtar diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini beliau masih meneruskan amalan jariah membantu 15 keluarga berkenaan.
Kawan beliau, Syed Abdullah yang ditugaskan mengagih wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Namun hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Dan lori serta syarikat berasnya masih beroperasi di Kedah.
Ramai yang tidak mengetahui Syed Mokhtar hanya sempat tamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.
Kisah yang dilalui pada zaman sekolah ini mendorong beliau untuk menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat dan Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996.
YAYASAN ALBUKHARY
Matlamat penubuhan yayasan itu sebagai memenuhi impian orang tua, terutama ibu yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri tapi membangunkan ummah dan membantu golongan miskin.
Walaupun tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, Syed Mokhtar sedar kejayaannya pada hari ini kerana berjaya dalam bidang perniagaan. Atas kesedaran ini, beliau terfikir untuk memberi budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.
Guru yang mengajar digajikan satu jam RM40 untuk ajar budak-budak dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar sudah mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran.
Bukan setakat itu saja, Syed Mokhtar turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.
Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.
Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.
Ayah kepada empat orang anak ini mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.
Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan rezeki Syed Mokhtar bertambah. Berkat dengar nasihat ibu, setengah kena bagi balik, beliau mendapat keinsafan.
Keinsafan itu juga mendorongnya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa.
Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah.
Semua yang dilakukan dengan niat satu tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Atas inisiatif beliau juga, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.
Hartawan berusia 58 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah. Dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.
Bagi Syed Mokhtar, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Jadi, jika sesiapa bertanyakan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.
Beliau pernah dipetik berkata, "Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.
"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung," kata Syed Mokhtar.
Kini, Yayasan Albukhary yang diasaskan Syed Mokhtar berjaya memartabatkan Malaysia sebagai negara prihatin yang sentiasa membantu masyarakat dibelenggui kemiskinan, perang saudara dan bencana alam.
ANAK KELAHIRAN DEB
Kejayaan yang dinikmati Syed Mokhtar adalah hasil daripada langkah kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Kata beliau, DEB telah memberi peluang kepadanya untuk bersaing dengan kaum lain dan seterusnya membuktikan bahawa anak Melayu juga mampu muncul sebagai konglomerat berjaya di pentas antarabangsa.
"Saya adalah anak kelahiran DEB. Melalui bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi terpaksa melalui proses pahit maung dahulu.
"Tiada jalan singkat untuk berjaya walaupun dengan bantuan kerajaan. Bumiputera harus mengambil peluang ini dan membuktikan mereka juga mampu berjaya," katanya.
Ketika ditanya sumbangan amalnya selepas mengumpul pelbagai anugerah, Syed Mokhtar berkata, rezeki yang diperolehinya digunakan untuk kebajikan lebih 67,800 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya membantu golongan miskin.
Kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya ketika zaman kanak-kanak menyebabkan beliau kini berusaha membantu golongan yang memerlukan terutama pelajar dan anak-anak yatim.
BINA 7 MASJID BARU DI NEGERI SEMBILAN
Umat Islam di Negeri Sembilan akan memiliki tujuh masjid baru tidak lama lagi hasil sumbangan Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor ini.
Tujuh masjid itu akan dibina di Rantau; Seremban 2; Kampung Paroi; Kampung Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman Anggerik, Batu Kikir.
Beliau berkata, pembinaan masjid di Rantau berharga kira-kira RM7.9 juta yang boleh menampung 2,500 jemaah akan dibina menerusi derma dan sumbangan Yayasan Albukhary di Taman Ekar.
Masjid Seremban 2 pula berharga kira-kira RM7.5 juta dan mampu menampung 3,000 jemaah akan dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).
DARI BIDANG PENGANGKUTAN KE TOKOH KORPORAT
Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.
Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.
Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.
Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.
Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.
MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Nama Tan Sri Syed Mokhtar turut tersenarai dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini.
Syed Mokhtar dilaporkan mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion). Meskipun susut dari AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) pada tahun lalu, beliau masih mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.
Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimilikki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.
Malah, Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.
"Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita," pesan Syed Mokhtar.
Susunan ZIEMAN
((Tmn2Syurga)) Resepi (Mee) Mi Udang
Resepi (Mee) Mi Udang
Bahan-bahan :
1 peket mi kuning
10 ekor udang
3 biji bawang merah
½ inci belacan
3 ulas bawang putih
2 sudu cili kering
Sedikit sos cili
Sedikit sos tomato
Sawi
Tauge
Daun bawang
Minyak secukupnya
Cara membuat:
1. Panaskan minyak kemudian tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
2. Selepas itu masukkan air rebusan udang.
3. Masukkan sos cili, sos tomato, garam dan serbuk perasa.
4. Setelah sebati masukkan mi kuning dan udang. Kacau seketika.
5. Akhir sekali, angkat dan boleh hiaskan dengan sawi, tauge dan hirisan daun bawang.
((Tmn2Syurga)) Resipi Penkek Cendawan & Tomato Kering
Bahan untuk krep (kulit luar):
4 butir telur
500 ml susu
250 gm tepung kek
75 gm gula putih
1 gm gula
250 gm air
50 gm mentega
Cara-cara membuat:
l. Pukul telur dan gula hingga sebati dan kembang.
2. Kemudian masukkan tepung, gula dan susu, tambahkan air sedikit demi sedikit. Gaul sebati.
3. Untuk memasaknya, panaskan kuali dan letakkan sedikit mentega. Masukkan adunan dan biarkan kekuningan. Kaup balikkan dan angkat apabila masak.
Bahan untuk inti:
200 gm cendawan -dihiris
50 gm bawang besar – dipotong bulat
30 gm tomato kering
Sedikit daun parsley - dihiris
Sedikit bahan perasa
Cara-cara membuat:
1. Goreng semua bahan di atas dan biarkan sebati.
2. Ambil kepingan krep dan letakkan adunan inti. Kemudian gulung dan masak pada suhu 160°S selama 15 minit.
((Tmn2Syurga)) Resepi Gulai Daging Salai
Resepi Gulai Daging Salai
BAHAN-BAHAN:
1 kg daging salai
250 gm cili padi
5 cm kunyit hidup
3 batang serai
500 gm santan
5 keping asam gelugur
300 gm terung telunjuk
5 tangkai cili hijau (belah dua)
CARA MENYEDIAKAN:
1. Daging dipotong nipis-nipis.
2. Cili padi dan kunyit dikisar halus.
3. Jerangkan periuk dan masukkan daging, cili, serai, asam gelugur. Didihkan sehingga daging empuk.
4. Masukkan santan, garam, terung dan cili hijau.
5. Masukkan garam secukup rasa.
6. Angkat dan hidangkan




